Friday, July 17, 2009

Harian Metro 17 Julai 2009

Pengarah hadapi 3 tuduhan lagi
Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat yang sebelum ini didakwa atas tuduhan menipu dan menjalankan perkhidmatan pasaran modal tanpa lesen tahun lalu, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM5.3 juta.

Tertuduh, Raja Noor Asma Raja Harun, 47, bagaimanapun tidak mengaku salah terhadap pertuduhan itu dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membabitkan diri dalam penggubahan wang haram RM2 juta di dalam akaun pengasingan pelanggan milik Syarikat FX Capital Consultant (M) Sdn Bhd di RHB Investment Bank Berhad di Level 3, Tower One, RHB Centre, Jalan Tun Razak di sini.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa atas pertuduhan yang sama membabitkan RM3,286,241, di Kenanga Deutsche Futures Sdn Bhd di Tingkat 3, Kenanga International, Jalan Sultan Ismail.

Tertuduh didakwa terhadap pertuduhan yang sama membabitkan RM15,901.93, di CIMB Bank Berhad di 43, Jalan Pandan 3/3 Pandan Jaya, di sini.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan pada 9 Mei 2008.

Bagi ketiga-tiga perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, dari G Jaya Prem Suruhanjaya Syarikat Malaysia manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah.

Muhammad Shafee memohon mahkamah menggunakan ikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan lain seperti yang dikenakan terhadap tertuduh sebelum ini kerana semua sumber kewangan tertuduh dibekukan.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 20 September ini untuk sebutan semula.

Pada 18 Disember lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat tuduhan menipu dan menjalankan perkhidmatan pasaran modal membabitkan pelaburan RM100 juta tanpa lesen.

No comments:

Post a Comment